settings

Saturday, April 28, 2012

Salah Yang Tak Disedari

     Pagi semalam, ketika baru selesai menjemur pakaian di koridor rumah sewa (rumah kedai bertingkat), datang seseorang memberi salam dan mengetuk pintu. Saya pun menjawab salam, kemudiannya membuka pintu dan bertanya apa kemahuannya. Setelah memperkenalkan dirinya (Jiran yang tinggal di tingkat bawah rumah), siswi tersebut menyatakan masalah dan rasa tidak puas hatinya bila mana air yang menitis dari jemuran tersebut dan hari-hari sebelum ni tempiasnya mengenai koridor rumahnya disebabkan  terdapat papan tanda kedai di bawah blok kami yang menghalang paip saluran air terus ke longkang. Siswi berkenaan meminta maaf jika tersalah bahasa dan berpesan agar saya turut sampaikan apa yang ditegur tadi kepada rakan-rakan serumah yang lain dibimbangi mereka masih buat kesalahan yang sama. Katanya, ahli rumahnya sudah letih mencuci koridor yang berlumut.

      Saya yang tadinya diam dan hanya mendengar (terkejut dengan kesalahan yang tak disedari + malu + tak tahu nak jawab apa...) hanya mampu minta maaf mewakili diri sendiri dan rakan-rakan serumah atas kesalahan tersebut sambil menyatakan kami betul-betul tidak tahu air jemuran yang menitis selama ni terkena tempias ke koridor rumahnya . "Dalam hati, saya bermonolog. Sudah tentu siswi tersebut benar-benar letih, kerana kerap mencuci lumut sehingga sanggup berpenat lelah naik ke tingkat atas sekali menyatakan masalahnya. Apa boleh buat, sebagai pelajar kami tidak mampu membeli mesin basuh yang mampu mengeringkan pakaian sekering-keringnya. Jadi lepas hari ni, kena perah pakaian dengan lebih kuat dan kena jemur sekejap dalam bilik air dahulu". Apapun saya hormatinya kerana menegur dengan cara yang berhemah terus datang ke rumah untuk berjumpa tanpa menyimpan perasaan marah dan mengatakan yang tidak elok tanpa pengetahuan kami.



     Alhamdulillah masalah tersebut diselesaikan dengan cara yang baik. Kejadian ini merupakan hikmah dari Allah s.w.t yang mengingatkan saya bahawa kita ini hamba yang lemah, banyak melakukan kesalahan-kesalahan yang sengaja atau tidak sengaja. Oleh kerana itu, kita harus sentiasa beristighfar memohon keampunan dan petunjuk dari-Nya. Setitik hikmah itu dari Allah. Allah yang menggerakkan hati siswi tadi agar berjumpa saya.  Maka terusiklah hati kecil ini, kerana siswi yang tidak dikenali tersebut adalah jiran saya sendiri. Bunyi ketukan pintu tadi seolah-olah pesanan dari Allah yang mengetuk pintu hati ini agar merujuk atau mengulangkaji semula adab-adab dan hak-hak berjiran agar tidak semakin melupakan hak jiran seolah-olah tebalnya  tembok dinding yang memisahkan rumah kami dengan rumah jiran.

     Mengabaikan tanggungjawab di antara satu sama lain dan mementingkan diri tanpa mempedulikan orang lain bersandarkan alasan sibuk sehingga tidak sempat berkenalan adalah sangat tidak patut. Jom kita hidupkan kembali semangat kejiranan menurut Islam berpandukan sunnah Nabi Muhammad s.a.w cikgu kita sepanjang zaman . Antara hak dari hak-hak-hak jiran yang wajar dipelihara adalah mewujudkan suasana kemesraan dengan saling kenal-mengenali, menuturkan kata-kata yang baik, merendahkan diri dan berlemah lembut, sentiasa bersedia memberikan sebarang bentuk bantuan dan pertolongan yang diperlukan, menyintai mereka sebagaimana mencintai diri sendiri, sentiasa memelihara diri agar tidak melakukan sebarang kesalahan dan kerosakan, rasakan kesusahan jiran  seperti kesusahan yang kita tanggung sendiri, tidak meyakiti jiran dan memelihara keamanan dengan jiran baik dari segi perbuatan, lisan, cara dan sikap kerana menyakiti jiran temasuk dalam dosa yang besar dan menjadikan seseorang itu dimurkai Allah SWT.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda; "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah dia menyakiti jirannya."


(Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim) 





     Fitrah manusia hidup bermasyarakat. Kurniaan tempat tinggal  itu rezeki dan nikmat dari Allah SWT kerana manusia dapat menghuninya untuk melindungi diri dan meneruskan kehidupan dengan teratur dan selesa. Jiran muncul apabila penempatan tersebut turut mempunyai penghuni lain yang tinggal berhampiran. Maka ajaran Islam yang lengkap dalam setiap aspek kehidupan ini mengajar manusia memelihara hak sesama manusia supaya hidup dalam keadaan aman. Allah memerintahkan manusia beribadah kepada-Nya dengan turut menyelitkan nilai-nilai murni disamping beribadah kepada-Nya dengan menyeru umat-Nya agar saling berbuat baik antara satu sama lain sebagai tanda mentaati-Nya.

Allah SWT berfirman:

     "Sembahlah Allah, dan janganlah mensyirikkan-Nya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang berhubungan dekat atau yang jauh dan rakan teman..." (An-Nisa : 36)

SMS: Jemur pakaian pun kena toleh kiri, kanan, atas dan bawah. Pastikan tidak mengganggu jiran~

~Jiran sepakat membawa berkat~


Tidak sempurna iman 
Jika kau tidur dalam kekenyangan
Sedang jiran tetanggamu 
Menangis kerana kelaparan


Dua kata yang berbeza 
Dicantum menjadi satu
Tetap tidak kan sama maksudnya 
Berlain sifatnya, nilainya, hikmatnya 
Sendu dan sendawa


Adakah kau tahu 
Siapakah mereka jiran tetanggamu
Pernahkah engkau melihat 
Apakah dalam sendu atau sendawa
Kenalilah dan bertegurlah sapa
Dengan akhlak yang mulia
Hidup berjiran susah dan senang
Suka duka dirasa bersama

Hak tetangga berkenal bermesra
Hak tetangga menggembirakannya
Hak tetangga bertanya khabarnya
Makan minumnya semua

Kenalilah jiran kita
Hormatilah kita sesama kita
Hormatilah jiran kita, bersaudara?

Hak tetangga menutup aibnya
Hak tetangga doakan mereka
Hak tetangga menjaga hartanya
Sakit demamnya

Hormatilah jiran kita
Kita sesama kita

Bersaudara ibarat pohon tumbuh merendang
Jadi teduhan musafir lalu
Hujan dan panasnya

Bersaudara ibarat tubuh manusia
Satu anggota terasa sakit
Sakitlah seluruh anggotanya

SMS: Jangan malu ungkapkan maaf & rajin-rajinkan diri ucapkan terima kasih~Teguran datang dari pelbagai cara atas izinNya. Bersyukurlah jika ditegur kerana itu menunjukkan kita masih lagi dalam pemerhatianNya~

No comments:

Post a Comment