settings

Friday, July 8, 2011

‎Ta'assub Beragama Timbulkan Perpecahan Ummah

    Ta'assub beragama timbulkan perpecahan ummah merupakan isu yang pernah hangat diperkatakan dan merupakan isu yang pernah ditimbulkan didalam media. "Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.".Berdasarkan firman Allah didalam surah Al Israa' ayat 36 ini, kita tidak seharusnya bertaqlid semata-mata tanpa berpandukan al-Quran dan as-Sunnah dengan mempercayai dan mengikuti sahaja pandangan sesiapa pun melainkan dengan cara ber'ittiba ikut berasaskan hujjah dari dalil al-Quran, Sunnah Rasulullah s.a.w, tokoh-tokoh seperti ulama' mazhab yang berijtihad mengenai sesuatu hukum. Akal juga memainkan peranan dalam mengkaji dan menilai sesuatu perkara. Perlu kita ingat, dalam beragama juga kita seharusnya tidak terlalu ta'assub kerana ia akan menimbulkan perpecahan. 
    
    Sebagai contah seseorang yang ta'assub dengan sesuatu mazhab atau pandangan seseorang ulama' atau ideologi-ideologi menolak kebenaran mazhab dan ulama'-ulama' lain kerana beranggapan seseorang tokoh yang kita puja itu sahaja yang betul dalam segala-galanya. Perumpamaan juga boleh dibuat dengan mengumpamakan seseorang peminat yang berminat dengan seorang pemain bola yang namanya gah di dunia atas kejayaan pasukannya tetapi pada satu hari, tersebar berita yang terbukti kebenarannya pemain itu mengambil dadah dan mengamalkan rasuah, oleh kerana terlalu ta'assub dalam memuja pemain tersebut, peminatnya tadi tetap beranggapan pemain itu tak mungkin melakukannya dan menganggap pasti ada pihak tertentu yang cemburu dengan kejayaan pemain itu seterusnya mereka-reka cerita tentang keburukan diri pemain tersebut sehingga menolak kebenaran bukti yang telah jelas menyatakan pemain tersebut bersalah. Selain itu, ta'assub boleh dielakkan dengan meninggalkan pujian-pujian dan sanjungan-sanjungan yang berlebihan terhadap individu-individu atau golongan-golongan tertentu.
    
   Islam adalah agama untuk seluruh alam dan manusia adalah pemimpin jadi tidak timbul persoalan siapa yang berhak untuk berdakwah kerana seluruh ummah seharusnya menjalankan tanggungjawab tersebut bukan hanya menyerahkan tanggungjawab tersebut pada para ulama' semata-mata. Kita punya banyak peluang untuk sama-sama memperingati diri. mereka yang petah berhujah, jadikan kelebihannya sebagai medan dakwah. andai terasa keupayaan berdiri di depan orang tiada, masih ada pena sebagai gantinya. sekurang-kurangnya tulisan-tulisan ini boleh dibaca dan menimbulkan sekelumit kesedaran di hati insan yang peka. Kita ada tanggungjawab terhadap diri sendiri dan saudara kita di luar sana. Jangan pernah lupa. Paling utama, ikhlaskan niat di setiap perbuatan demi redha-Nya.
    
   Zaman globalisasi ini, ramai yang menggunakan laman sosial untuk berdakwah dan mencari ilmu kerana mungkin tidak semua orang berpeluang, berkelapangan dan berkemampuan dari segi faktor kesihatan, kewangan, usia, keselamatan dan sebagainya untuk mendalami ilmu agama seperti menuntut di universiti-universiti terkemuka mahupun di sekolah-sekolah pondok didalam mahupun di luar negeri. Selaras dengan fardhu kifayah, disamping ilmu-ilmu agama setiap orang juga perlu belajar dan mendalami bidang-bidang ilmu yang lain. Sesiapa sahaja boleh berkongsi maklumat dan apa sahaja ilmu di alam maya ini cuma diri kita sendiri yang perlu bertindak memainkan peranan untuk menyelidiki dahulu apakah perlu untuk mengikutinya atau tidak dan terus berusaha meningkatkan ilmu dengan cara menuntut ilmu dari guru.

   Melalui alam maya, kita berpeluang untuk memberi teguran seperti di laman-laman web juga di laman-laman sosial dengan harapan orang-orang yang membaca teguran atau nasihat yang ditulis mampu untuk menegur secara perbuatan juga lisan menyampaikan pula kepada orang lain. Orang-orang disekeliling tidak mungkin dapat menghabiskan setiap waktu yang mereka ada untuk mendampingi kita bagi menegur salah silap kita. Sedarlah, hanya Allah yang sentiasa ada bersama kita! Ingat perjanjian kita setiap hari didalam solat iaitu sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah.
    
   Sesungguhnya setiap amalan dimulakan dengan niat. Setiap orang mempunyai niat masing-masing dan kita pula tidak mungkin tahu niat orang lain. Bersangka baiklah kepada setiap orang dengan terlebih dahulu membezakan baik dan buruk serta berusaha melihat kebaikan didalam keburukan seseorang. Bak kata pepatah 'Ilmu yang baik dijadikan teladan segala yang buruk tolak ketepi'. Guru pernah mengingatkan, dalam memberikan teguran kita seharusnya berhati-hati dengan segala tindak tanduk kita agar berhikmah manakala dalam usaha kita menjaga perasaan orang lain didalam perbincangan, berbahaslah bagai menarik rambut dari dalam tepung juga bersederhanalah dalam setiap perkara. 
-------------------------------------------------------------------------------------------------------

~SMS~

Moga dipermudahkan Allah dalam setiap urusan kita. Salam Ukhwah dan selamat meneruskan perjuangan dalam mencari ilmu.

No comments:

Post a Comment